Sunday 25 December 2011

Engkau Takdirku

Aku tersenyum gembira. Surat yang ku genggam erat, ku kucup mesra. Hakim! Aku teringat akan rakan akrabku. Sudah hampir 15 tahun aku bersahabat dengan Hakim. Hubungan kami sungguh akrab tetapi kami bukan pasangan kekasih. Ya! Aku mengaku, aku menyimpan perasaan terhadapnya tetapi selagi dia tidak berkata apa-apa, aku nekad untuk memendam sahaja perasaan ku terhadapnya. Biarlah sekadar rakan yang penting aku tetap berada di sisinya. Namun surat darinya yang ku terima hari ini telah mengangkat hubungan kami setingkat lebih tinggi dari rakan karib. Dua hari sebelum ku menerima surat tersebut, hakim ada mengajakku dinner bersamanya. Dan hari ini aku memerima surat cintanya. Aku tidak sabar untuk berjumpa dengannya.

“Hakim, thanks for everything. You are so sweet,” kata ku tersipu-sipu. Hakim tersenyum mesra. Wajahnya bertambah tampan apabila lesung pipinya kelihatan.

“Kenape formal pulak ni?” tanyanya sambil tergelak kecil.

“Anis cintakan Hakim,” kataku berani.

Hakim hanya memandangku. Aku tertunduk malu. Aku sempat menjeling ke arahnya. Ternyata dia masih memandangku. Mukaku merah menahan malu.

“Eh, malu-malu pulak. Jemput makan. Nanti lambat habis pak cik marah pulak sebab lewat hantar Anis balik,” katanya memecah kesunyian. Aku memuncungkan bibir. Sedikit terkilan kerana Hakim tidak memberi reaksi seperti yang ku harapkan. Namun aku yakin Hakim tetap mencintaiku. Hakim tidak banyak bercakap ketika menghantarku balik. Dia kelihatan banyak berfikir. Aku cukup arif akan sikapnya. Aku juga turut berdiam diri. Apa yang tidak kena pada Hakim? Aku sudah menerima cintanya. Seharusnya dia gembira sepertiku. Aku hanyut dalam monologku sendiri. Mahu saja ku tanya, tapi perhubungan baru ini membuatku agak kekok untuk berbual dengannya. Mungkin dia juga merasa begitu.

Esoknya, sejambak bunga Ros kuning di atas meja menyambut kedatanganku ke pejabat. Aku agak terkejut namun hatikku gembira dan buktinya sebuah senyuman manis terukir di bibirku.

“Pagi-pagi lagi dah dapat bunga. Mesti dari someone special kan?” usik Izzul sambil memandangku.

“Eh, mestilah. Tapi takde pulak nama pengirim kat bunga ni. Entah-entah hantu kot yang bagi,” selorohku membuat Izzul tergelak. Aku turut ketawa kecil.

Aku tahu bunga ini di hantar oleh Hakim. Dia memang tahu bunga kegemaranku. Cintaku terhadapnya semakin membuak-buak. Petang ni, Hakim akan ke China kerana menghadiri kursus syarikatnya. Bukan sahaja tampan dan soleh, tetapi status kewangan Hakim juga stabil. Aku merasa sungguh bertuah menjadi antara yang terpenting dalam hidupnya. Aku ada menawarkan diri untuk menghantarnya tetapi  Hakim menolak dengan alasan tidak mahu menyusahkanku. Aku menurut saja. Aku pasti akan merinduinya nanti. Dua minggu tentu seperti dua tahun. Adat berkasih mestilah rindu-merindu.

“Amboi, jauhnya dia mengelamun. Dah sampai London ke mak cik?” usik Izzul menghentikan lamunanku. Izzul memang suka mengusikku. Kami sudah menjadi rakan kerja sejak empat tahun yang lepas. Minat serta lulusan yang sama menempatkan kami bekerja di bawah satu bumbung. Namun aku adalah seniornya kerana aku telah mula bertugas sebagai peguam di sini setahun awal darinya.

“Diamlah pak cik!” jawabku sambil tersenyum.

Malam itu aku berbual panjang di talian bersama Hakim. Terubat sedikit kerinduanku padanya. Dia banyak bercerita dan aku hanya tergelak. Geli hati dengan selorohnya. Sikapnya saling tidak tumpah seperti Izzul. Selepas berbual dengannya, barulah aku teringat perihal bunga pemberiannya dan aku lupa untuk mengucapkan terima kasih ku padanya. Aku tidak menelefonya semula atau pun memberi mesej kerana aku yakin dia sudah lena dibuai mimpi.

Lima hari berlalu, rinduku pada Hakim semakin menebal. Setiap malam dia akan menghubungiku, namun aku tetap merasa rindu terhadapnya. Mungkin inilah yang dinamakan cinta. Aku tidak sabar untuk menunggu kepulangannya.

“Kak Long! Kak Long! Cepat turun. Ada orang hantar present untuk Kak Long!” teriak Nia, adik bongsuku yang berusia 16 tahun sambil berlari kearahku. Aku teruja melihat sebuah kotak berwarna violet yang dibawanya bersama. Nama Hakim meluru kemindaku. Kegembiraanku bertambah apabila terlihat nama Hakim pada kotak tersebut. Benar tekaanku. Ia pemberian dari insan yang ku rindui kini.

You might want some privacy right?” kata Nia sejurus selepas menyerahkan kotak tersebut kepadaku. Aku tersenyum. Ternyata Nia memang matang dalam hal begini dan sangat memahami. “Promise me, kak Long akan cerita nanti tau,” tambahnya lagi sebelum menutup pintu kamarku.

Hatiku berdebar-debar.  Aku membuka kotak tersebut. Terdapat sebuah kotak kecil didalamnya. Ya! Kotak kecil itu adalah kotak cincin. Air mata kegembiraan membasahi pipiku. Aku terkesima melihat cincin silver bertahktakan batu berlian. Comel. Aku terharu dengan cinta ikhlas dan kesungguhan Hakim. Memang bahagia rasanya bercinta dengan rakan akrab sendiri. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan ku kini. Aku cinta kamu Hakim! Aku mencapai telefon dan menghubungi Hakim.

“Assalammualaikum,” ucapku setelah talian diangkat.

“Waalaikumussalam warahmatullah,” jawabnya. “Happy semacam je?” tanyanya dalam nada mengusik.

“Mestilah. Dapat hadiah dari China”.

“Patutlah. Tahniah ye,” usiknya lagi.

“Hakim!” rungutku manja. Dia ketawa terhibur apabila berjaya mengusikku.

“Hakim cin…”

TREEEEET... Bunyi kuat hon kereta mengejutkanku.

“Hakim?! Hakimmm?! Awak?”.

Air mataku mengalir. Tiada jawapan dari Hakim. Hanya bunyi kuat yang membingitkankan telinga kedengaran ditalian. Kedengaran juga suara manusia menahan kesakitan dan menyebut nama Yang Maha Esa. Aku tidak tahu hendak berbuat apa. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang ku dengar. Hatiku tidak putus-putus berdoa agar Hakim selamat. Talian putus setelah aku mendengar bunyi letupan yang kuat.

Aku membuka mata. Terang. Aku berada di hospital kini. Ayah yang berada di sisi katilku menggenggam erat tanganku. Dia tersenyum hambar. Matanya sayu.

“Kak Long dah sedar…”

“Ayah, kenapa…”

“Kak Long pengsan sayang. Rehatlah dulu…”

“Hakim…”

“Sabar sayang…”

Ayah membelai rambutku dengan lembut. Aku menangis semahu-mahunya. Walaupun ayah tidak meneruskan ayatnya tetapi aku sudah memahami apa yang ingin disampaikannya. Aku tidak mahu mendengar ayat terakhir ayah. Sungguh tidak dapat aku gambarkan kesedihanku. Sayu perasaanku. Kenapa Hakim? Aku seperti tidak dapat menerima ketentuan yang telah di tetapkan Ilahi. Memori indah bersama Hakim bermain-main di mindaku. Aku juga terkilan kerana tidak dapat melihat Hakim buat terakhir kalinya. Aku hanya sedar selepas Hakim selamat dikebumikan. Tidak ku sangka, dinner bersamanya sebelum dia ke China, adalah pertemuan terakhir ku dengannya.

“Ya Allah, tempatkanlah arwah bersama hamba-hambamu yang soleh”.

**************************

Aku sangat merindui Hakim. Aku membuka hadiah terakhirnya semula. Air mataku mengalir lagi. Aku tidak dapat menahan sebak. Jiwaku kosong dan fikiranku hanya tertumpu pada Hakim. Aku menyentuh cincin pemberiannya dan menyarungkannya dijariku. Mataku kini tertumpu pada sesuatu. Keningku berkerut apabila terlihat sepucuk surat di dalam kotak tersebut. Aku tidak sedar akan surat itu ketika kali pertama membuka kotak tersebut. Aku membaca kandungan warkah itu.

Assalammualaikum wbt…
Anis Amani, jujur Hakim katakan Hakim sangat terkejut apabila Anis meluahkan perasaan Anis semasa kita dinner tempoh hari. Maaf, Hakim tidak terus memberi jawapan kepada Anis kerana Hakim takut perasaan yang Hakim rasa terhadap Anis, tidak lebih dari seorang rakan akrab. Namun, setelah dua hari tidak melihat Anis, Hakim terasa rindu sangat kat Anis. Dan barulah Hakim sedar, Hakim juga mencintai Anis. Sangat mencintai Anis. Balik je dari Hong Kong, Hakim akan menghantar rombongan meminang. Kalau Anis setuju, telefonlah Hakim selepas membaca warkah ini.                                     

Salam sayang,

Hakimi

Meluahkan perasaan terhadapnya? Bukankah Hakim yang sendirinya terlebih dahulu meluahkan perasaan terhadapku melalui surat. Aku keliru. Kalau bukan Hakim yang menghantar surat tersebut jadi siapa? Aku semakin keliru. Aku mengeluarkan surat pertama ‘Hakim’ dan membandingkan tulisannya dengan surat kedua. Tulisan yang berbeza. Apa sebenarnya yang berlaku? Siapa pula yang menghantar surat pertama ini? Ku kesat air mata yang mengalir di pipiku perlahan-lahan. Siapa dia? Aku buntu.

***************************

Aku kembali bertugas semula setelah bercuti selama dua minggu. Sampai sahaja di pejabat, aku terkejut apabila melihat tiga kuntum bunga Ros kuning dimejaku. ‘segala yang terjadi pasti ada hikmahnya’. Memo yang tertulis pada kad bunga tersebut ku amati. Tulisannya sama dengan surat pertama yang ku terima dahulu. Siapa hamba Allah ni? aku tetap gagal mendapatkan jawapan. Tetapi aku tidak nafikan bahawa aku amat berminat untuk mengetahui gerangan hamba Allah ini. Mataku beralih kearah kaset yang diletak tidak jauh dari tempat bunga tadi. Kaset siapa pula ni? entah mengapa aku merasa kaset tersebut adalah milik pemberi bunga dan surat pertama tersebut. Aku hanya mendengar isi kandungan kaset itu setelah sampai di rumah. Hatiku berdebar-debar. Lagu kegemaranku berkumandang. Namun ia tidak dinyanyikan oleh penyanyi asal iaitu kumpulan Padi. Lagu Menanti Sebuah Jawapan itu dinyanyikan dalam versi akustik. Bunyi gitar dan suara penyanyinya sangat harmoni.

‘…Setulusnya aku akan terus menunggu
Menanti sebuah jawapan tuk memilikimu
Betapa pilunya rindu menusuk jiwaku
Semoga kau tahu isi hatiku
Dan seiring waktu yang terus berputar
Aku masih terhanyut dalam mimpiku
Aku tak bisa luluhkan hatimu
Dan aku tak bisa menyentuh cintamu…’


Hatiku tersentuh. Entah mengapa aku menangis saat mendengar lagu tersebut. Mungkin juga aku terharu. Aku tidak pernah menyangka dia memendam rasa terhadapku. Izzul Nur Islam. Dialah yang menghantar surat cinta padaku. Dia juga yang menghantar kedua-dua bunga Ros kuning dan meletakkan di atas mejaku. Namun dia jugalah yang telah menyatukan hatiku dengan Hakim. Aku keliru terhadap perasaanku sendiri. Pilu. Sebak. Terharu. Semuanya menyatu.

********************

Aku mengucup dahi suamiku. Tenang sahaja wajahnya yang sedang lena dibuai mimpi. Setelah dua tahun selepas mendengar pengakuan melalui kaset yang dirakamnya, hatiku terbuka untuk menerima cintanya. Dia sabar menungguku dalam tempoh dua tahun tersebut. Aku membelai rambutnya. Aku telah diciptakan dan ditakdirkan untuk bersamanya. Cintaku kini adalah untuk dia, suamiku, Izzul Nur Islam. Dia menggenggam jariku selepas terjaga. Lamunanku terhenti.

“kenape yang?” tanyanya sambil menatap wajahku.

“Anis cintakan Izzul,” kataku dengan nada perlahan. Matanya masih tertumpu kearahku.

“Ape Anis dan Izzul?” tanyanya lagi.

“Eh… Ayang cintakan abang”, kataku membetulkan ayatku sambil mengucup tangannya.

“Camtulah… Abang cintakan ayang juga…” katanya sambil mencuit hidungku dan tersenyum mesra. Aku tergelak kecil. Dia mendakapku. Ternyata sikapnya yang suka mengusik masih tersemat kemas dalam dirinya.

“Abang dah berjaya sentuh cinta ayang”.

“Bukan sentuh je abang sayang, tapi abang juga memiliki cinta ni dan terima kasih untuk segalanya”.

Izzul mendakapku erat. Bukan aku saja yang mengalirkan air mata, tapi Izzul juga. Syukur kehadrat Ilahi. Sememangnya ajal dan jodoh itu adalah ketentuanNya. Dan percayalah, apa yang telah ditentukan olehNya adalah yang terbaik untuk kita. Waullahualam.

No comments:

Post a Comment